Memacu kepelbagaian ekonomi, potensi eksport Halal Brunei




Siaran Akhbar dan Foto : Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei





GADONG, Jumaat, 11 Julai. - Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Kebangsaan dan Industri Negara Brunei Darussalam (The National Chamber of Commere and Industry Brunei Darussalam – NCCIBD), ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) Brunei, APEC Business Advisory Council (ABAC) Brunei dan Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC) Brunei telah mengadakan Sesi Pertama the MSME Roundtable Series yang bertemakan 'Unlocking Growth in Brunei's Food Industry', baru-baru ini.


Sesi Roundtable yang berlangsung di Rizqun International Hotel tersebut telah dipimpin oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid juga selaku Timbalan Pengerusi Bersama BEDB.


Sesi Roundtable ini menghimpunkan para penggubal dasar utama, pemegang taruh industri dan pemimpin perniagaan untuk bertukar pandangan, mengenal pasti cabaran sektor dan menyelaraskan usaha dalam memacu pertumbuhan industri makanan tempatan khususnya melalui pembangunan MSME atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan memperluaskan eksport Halal.


Dalam ucaptama Yang Mulia Dato menyeru kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dan swasta bagi memacu sektor makanan sebagai salah satu daripada lima kluster keutamaan dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara ini.


“Nilai Sesi Roundtable ini bukan hanya terletak pada perbincangan tetapi pada tindakan konkrit yang menyusul selepasnya. Ia merupakan platform strategik yang memberikan kejelasan dalam merangka hala tuju kita ke hadapan untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian yang seimbang dan praktikal serta memacu inovasi yang memberi manfaat kepada semua dan mengukuhkan ekonomi kita," jelas Yang Mulia Dato.


Para peserta menyatakan penghargaan terhadap Sesi Roundtable yang julung kali diadakan ini sebagai satu platform yang membina untuk dialog yang terbuka dan telus serta mengalu-alukan penganjurannya secara berkala bagi menggalakkan keterlibatan berterusan antara sektor awam dan swasta.


Golongan perniagaan turut berkongsi maklum balas mengenai bidang-bidang utama yang memerlukan sokongan, termasuk penyelarasan prosedur berkaitan perniagaan dengan agensi-agensi kerajaan, kemudahan pengeluaran bersama untuk mengoptimumkan kos, serta pemerolehan dan logistik secara bersama bagi meningkatkan skala ekonomi.


Presiden NCCIBD merangkap Ahli Majlis ASEAN-BAC, Awang Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad berkata bahawa dialog ini telah mula membentuk bidang-bidang berpotensi untuk kerjasama.


Berdasarkan latar belakang beliau dalam bidang perkapalan, Awang Haji Saman mengakui cabaran yang dihadapi oleh PKS dalam aktiviti pengeksportan, sambil mengetengahkan peluang untuk menjalinkan kerjasama terus dengan syarikat perkapalan serta penggabungan eksport melalui penghantaran dalam satu kontena.


“Para peserta amat jujur dan telus dalam berkongsi cabaran yang mereka hadapi dan kita mula melihat peluang yang wujud untuk menggabungkan penghantaran atau eksport oleh PKS bagi membantu mengurangkan kos," jelasnya.


Sementara itu, Rizqussalam iaitu sebuah perniagaan tempatan yang diasaskan pada tahun 2016 dan terkenal dengan pengeluaran sambal Tahai berkongsi perjalanan mereka daripada dapur rumah kepada pembekal kepada pasar raya utama serta mengeksport ke luar negara dengan bantuan daripada BEDB.


Syarikat ini dijangka akan membuka kilang komersial pertama mereka dalam beberapa bulan akan datang dan telah mula mengeksport ke Singapura.


“Alhamdulillah, BEDB memainkan peranan penting dalam memperluas akses kami bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.


“Kini kami berhasrat untuk terus berkembang, terutamanya dalam menerima pembayaran rentas sempadan dan meneroka kemungkinan untuk mengintegrasikan perniagaan tempatan ke dalam platform e-Dagang antarabangsa," ujar pengasasnya, Awang Shahril bin Haji Osman.


Pasaran Makanan dan Minuman Halal Global dijangka meningkat daripada USD803 bilion pada tahun 2022 kepada lebih USD1.06 trilion menjelang tahun 2030, didorong oleh permintaan yang semakin meningkat di Asia, Timur Tengah, dan Eropah, menurut laporan Halal Food Market Size, Share & Trends Report, 2023–2030 yang diterbitkan oleh Grand View Research pada Mac 2024.


Sistem Pensijilan Halal Brunei Darussalam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa meletakkan negara ini dalam kedudukan yang kompetitif untuk memainkan peranan penting dalam pasaran eksport halal premium.


Close